Iman itu adalah yakin. Yakin dengan sepenuh hati bahawa hanyalah Allah swt Tuhan yang layak disembah. Yakin dengan sepenuh hati bahawa hanya Allah swt tempat meminta pertolongan. Sebagaimana yang sering kita baca di dalam solat kita;
Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (Surah Al Fatihah: 5)
Seandainya kita benar-benar yakin dengan janji-janji pertolongan Allah swt, apabila ditimpa sebarang musibah, maka kita akan meningkatkan usaha untuk beramal dengan amalan-amalan yang ada janji-janji Allah.
Seperti dengan solat, Allah swt janjikan pertolongan (Al Baqarah:45). Orang yang bersolat tidak akan menjadi orang yang berdukacita (Al Baqarah:277). Dengan menjaga solat, Allah swt janjikan kemurahan rezeki (Taha:132). Dengan khusyu dalam solat, Allah janjikan kejayaan.(Al Mukminun:1-2)
Apabila ditimpa musibah, dekatkanlah diri dengan Allah swt sebanyak mungkin. Banyakkan istighfar. Usahakan agar solat dikerjakan dengan penuh khusyu’ dan khudu’. Banyakkan berzikir kerana dengan mengingati Allah hati akan jadi tenang. Berzikirlah dengan penuh tawajuh dan sungguh-sungguh, nescaya Allah swt akan memberikan kekuatan kepada hati. Dan yang terakhir sekali, banyakkanlah berdoa. Terutamanya, pada waktu-waktu doa paling mustajab seperti di bahagian akhir malam. InsyaAllah, sedikit demi sedikit, Allah swt akan tunjukkan jalan keluar dan selesaikan masalah tersebut.
Apabila seorang mukmin mengaku bahawa dia beriman kepada Allah swt, maka pasti dan pasti imannya akan diuji. Dan apabila seorang mukmin BERJAYA melepasi ujian tersebut, maka Allah swt akan naikkan darjatnya. Imannya akan meningkat. Yakinnya pada janji-janji Allah swt akan meningkat. Justeru, amalnya juga akan turut meningkat. Dan Allah swt yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang akan menzahirkan kenikmatannnya yang mencurah-curah. Allah swt akan berikan kepadanya nikmat ketenangan dan kebahagian yang lebih indah daripada kehidupan sebelum musibah tadi.
“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,(Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan” (Al Insyirah: 5-6)
MasyaAllah! Indahnya CINTA Allah swt…Kita makhluk yang sangat lemah, sangat tidak mengerti apakah hikmah di sebalik setiap musibah. Hanya Allah swt sahaja yang Maha Mengetahuinya. Hakikatnya, Allah swt sentiasa menentukan apa yang TERBAIK buat kita kerana Dia sangat-sangat CINTA pada kita…
No comments:
Post a Comment