Hidup ini ibarat roda. Adakalanya kita gembira, dan adakalanya kita bersedih. Bila kesedihan melanda, hati mula terasa pedih, semangat mula terpadam sedikit demi sedikit. Tiada lagi keghairahan untuk melakukan kerja. Tiada lagi kekuatan untuk meneruskan kehidupan. Tiada lagi senyuman yang terpancar di wajah. Semuanya tampak suram. Tiba-tiba dunia menjadi gelap. Sangat-sangat gelap untuk kita.
Jangan bersedih, sahabatku..
Setiap musibah itu datangnya daripada Allah swt. Hakikatnya, Allah swt tidak mendatangkan musibah itu kerana Dia zalim kepada kita. Akan tetapi, Allah swt berikan kita sesuatu musibah kerana Dia CINTAkan kita. Dikatakan bahawa, Allah swt kasih kepada seorang manusia, 70 kali ganda melebihi daripada kasihnya seorang ibu kepada anaknya. Seandainya benar Allah swt kasih dan sayang kepada kita, sudah tentu di sebalik setiap musibah, ada tersimpan satu hikmah. Tiada siapa yang mengetahuinya, melainkan Allah swt. Namun apa yang pasti, setiap hikmah itu sangat berkait rapat dengan dasar CINTA Nya terhadap kita.
Hikmah 1: Allah swt sangat rindu pada kita. Dan Dia mahu kita lebih dekat denganNya.
Adakalanya kita ter”lemas” dengan urusan dunia. Kesibukan menyebabkan kita lalai daripada mengingatiNya. Solat kita penuh dengan dunia. Zikir kita penuh dengan dunia. Sedekah kita juga kerana dunia. Sehingga tiada saat, terdetik di dalam hati kita untuk mengingatiNya. Kalau ada pun, hanya sedikit sahaja..Sehingga boleh dibilang dengan jari jemari sahaja.
Kerana Allah swt sangat SAYANG pada kita, kerana Allah swt sangat CINTA kepada kita, maka Dia tidak sanggup melihat kita terus lemas di dalam dunia. Lantas, dengan kasih sayangNya, Dia terus menarik kita. Bukan untuk merosakkan kita, tetapi untuk menyelamatkan kita.
Salah satu caranya ialah, dengan memberikan kita musibah. Apabila ditimpa musibah, kebiasaannya, manusia akan mula mengingati Allah swt. Manusia akan cuba mencari peluang agar selalu dekat denganNya. Manusia akan mula menambahkan doanya. Manusia akan mula menambahkan amalnya. Solatnya tidak lagi leka..Zikirnya tidak lagi leka..Khusyu’ dan khudu’ mula menemani dalam setiap ibadahnya.
Nah!..Inilah yang Allah swt mahukan. Dia sangat rindu mendengar suara hambaNya. Kerana Dia sangat suka mendengar zikir hambaNya, Dia sangat suka mendengar bacaan Al Quran daripada hambaNya. Dia juga sangat suka apabila hambanya menadahkan tangan di dalam tahajudnya, meminta-minta, merintih, merayu, dan menangis di hadapanNya.
No comments:
Post a Comment