Hikmah 2: Allah swt ingin menghapuskan dosa-dosa kita.
Allah swt itu jauh sekali daripada sifat zalim. Allah swt tidak pernah akan menzalimi hamba-hamba yang dicintaiNya. Sedangkan, manusia lah yang menzalimi dirinya sendiri. Manusia menzalimi dirinya sendiri dengan mengingkari perintah-perintah Allah swt. Allah swt perintahkan solat, bukan kerana mahu membebankan manusia. Sedangkan Allah swt memerintahkan solat kerana CINTANya pada manusia. Allah swt perintahkan agar kita menutup aurat, juga kerana Dia cintakan kita. Allah swt perintahkan kita menjaga batas pergaulan lelaki dan wanita, juga kerana cintaNya pada kita.
Setiap syariat Allah swt itu adalah kerana cintaNya Dia pada kita. Apabila setiap syariat diikuti, ia akan membuahkan hasil dan manfaatnya untuk manusia. Apabila seorang wanita menjaga auratnya, maka dia tidak akan menjadi punca yang menaikkan nafsu berahi lelaki, dan dia juga akan terselamat daripada zina . Apabila seorang lelaki menundukkan pandangannya pada wanita dan wanita juga membuat perkara yang sama, maka tidak akan ada suami atau isteri yang curang kepada pasangannya.
Apabila manusia mula meninggalkan syariat, maka dia akan menzalimi dirinya sendiri dan orang lain. Adakalanya, kita tidak perasan akan perkara-perkara ini. Maka, Allah swt berikan kita sedikit musibah, agar kita kembali muhasabah diri dan membuat koreksi atas setiap kesilapan kita. Perbanyakkanlah taubat dan istighfar, agar Allah swt menjadikan musibah ini sebagai kaffarah kepada dosa-dosa kita. Harapan kita semoga, bila dosa-dosa ini sudah terampun sebelum kita mati, maka di akhirat nanti ia tidak akan disebut lagi di mahkamah ahkamul haakimin.
No comments:
Post a Comment